Skip to main content

Mati Otak & Pendermaan Organ

Seperti yang diterbitkan oleh :
Bahagian Pendidikan Kesihatan 2007
Kementerian Kesihatan Malaysia



Apakah yang dikatakan mati otak?

Mati otak ialah keadaan tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak iaitu bahagian otak yang mengawal aktiviti-aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan denhyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh dipulihkan.

Keadaan yang menyebabkan mati otak

Bagi segelintir pesakit, kematian otak boleh terjadi dahulu sebelum denyutan jantung mereka berhenti. Ini mungkin terjadi apabila pesakit itu mengalami koma akibat keadaan-keadaan seperti yang dinyatakan berikut dan telah mendapat rawatan bantuan pernafasan mesin (ventilator) seperti di unit rawatan rapi :


  • kecederaan otak yang menyebabkan bengkak otak atau pendarahan dalam kepala yang teruk.
  • pendarahan otak yang teruk secara spontan oleh kerana urat saluran darah yang terputus akibat darah tinggi atau saluran darah yang tidak normal (Arterio-venous malformation atau AVM).
  • otak bengkak yang teruk oleh kerana jangkitan kuman atau virus (encephalitis) ataupun ketumbuhan seperti barah otak.
  • strok (angin ahmar) teruk yang melibatkan seluruh otak kerana saluran darah yang tersekat oleh darah beku.
Seseorang yang mati otak tidak akan bernafas. Kematian otak akan disusuli dengan kerosakan organ-organ dan anggota tubuh badan yang lain. Bantuan pernafasan menggunakan mesin pernafasan dan sokongan ubatan boleh melengahkan pemberhentian denyutan jantung buat seketika. Walau bagaimanapun, denyutan jantung akan berhenti juga akhirnya walau dengan sebanyak mana sokongan yang diberi. Apabila seseorang itu telah disahkan kematian otak, bermakna dia telahpun meninggal dunia.

Bagaimanakah pesakit disahkan mati otak?

Mati otak adalah satu cara bagaimana seseorang itu boleh disahkan mati. Pengesahan mati otak adalah dibuat oleh dua orang doktor pakar yang tiada kaitan dengan pemindahan organ setelah ujian-ujian tertentu dijalankan ke atas pesakit tersebut. Ujian-ujian ini dilakukan 2 kali setelah beberapa jam pemerhatian untuk menentukan tidak ada perbezaan yang dilihat.

Mati otak dan pendermaan organ

Pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah pesakit disahkan mati otak. Bagi melaksanakan pemindahan ini anggota perubatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ahli keluarga terdekat penderma. Pembedahan pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah mendapat kebenaran ahli keluarga pesakit yang mengalami mati otak tersebut.

Persoalan mengenai mati otak dan pendermaan organ

Saya diberitahu oleh pakar perubatan bahawa ahli keluarga saya mengalami mati otak. Dengan segala peralatan sokongan diberikan, bagaimanakah pakar perubatan mengatakan bahawa ahli keluarga saya itu benar-benar telah meninggal dunia?

Pakar perubatan akan menjalankan ujian-ujian tertentu untuk menjelaskan bahawa pesakit benar-benar telah meninggal dunia. Seseorang pesakit itu dikatakan telah meninggal dunia apabila :


  • tidak boleh bernafas tanpa adanya alat bantuan pernafasan (ventilator)
  • anak mata tidak memberikan sebarang tindak balas kepada cahaya
  • tiada tindak balas kepada kesakitan
  • tiada tindak balas kepada batang otak (brainstem reflexes)
  • ujian juga akan menunjukkan tidak ada pengedaran darah ke otak
Saya difahamkan apabila individu itu meninggal dunia, jantungnya berhenti berdenyut. Sekiranya ahli keluarga saya mengalami mati otak, kenapa jantungnya masih berdenyut?

Jantung sebenarnya mempunyai pacemaker tersendiri daripada otak. Jantung akan berdenyut selagi mendapat oksigen. Jantung ini boleh dikeluarkan daripada badan dan diletakkan dalam larutan tertentu serta diberikan oksigen untuk terus berdenyut. Sehubungan itu selepas mati otak, jantung boleh berdenyut buat beberapa waktu tetapi akan berhenti tidak lama selepas itu walaupun dengan bantuan yang maksimum.

Adakah dengan menghentikan alat bantuan respiratori boleh menjadi penyebab kepada kematian ahli keluarga saya itu serta tidak memberinya peluang untuk meneruskan kehidupan?

Apabila pesakit disahkan mati otak, dia sebenarnya telah meninggal dunia. Otaknya tidak berfungsi lagi. Oleh kerana pesakit telah meninggal dunia, tindakan menghentikan bantuan respiratori tidak merupakan penyebab kematian. Bantuan respiratori hanya membuatkan jantung pesakit berdenyut untuk seketika tetapi jantung itu akan tetap juga berhenti walaupun dengan semua bantuan yang diberikan.

Adakah rawatan ke atas saya diabaikan sekiranya diketahui saya telah mendaftar sebagai penderma organ?

Tidak. Semua pesakit akan diberikan rawatan dan perhatian yang sewajarnya tanpa mengira sama ada anda telah mendaftar sebagai penderma organ atau tidak. Pegawai perubatan akan berusaha sedaya mungkin dengan mengambil semua tindakan serta langkah yang perlu untuk menyelamatkan nyawa anda. Persoalan mengenai pendermaan organ dan tisu hanya akan dibincangkan dengan waris selepas kematian telah disahkan.

Apakah organ dan tisu yang boleh didermakan?

Organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati (hepar), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu pula adalah mata (kornea), tulang, kulit dan injap jantung.

Adakah kami akan diberitahu organ mana yang diambil dan kepada siapa organ tersebut didermakan?

Pusat transplan akan memaklumkan kepada keluarga penderma berkaitan organ yang diambil dan sedikit maklumat berkaitan penerima. Namun begitu, nama akan dirahsiakan dan tidak diberikan kepada keluarga penderma dan penerima.

Adakah keluarga penderma perlu membayar kos pembedahan pemindahan organ atau tisu yang dijalankan?

Tidak. Keluarga penderma tidak perlu membayar kos pembedahan pemindahan organ. Namun begitu, kos rawatan sebelum pembedahan pemindahan organ dijalankan masih lagi di bawah tanggungjawab keluarga penderma.

Bagaimanakah pemindahan organ dijalankan?

Proses pemindahan organ dan tisu adalah suatu pembedahan yang bersih dan steril. Pembedahan dijalankan oleh pakar bedah yang berpengalaman. Perolehan organ serta tisu tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh badan penderma. Selepas organ dan tisu diperolehi, luka pembedahan akan dijahit dengan sempurna dan jenazah penderma tidak akan mengalami sebarang kecacatan fizikal. Proses pembedahan pemindahan ini dijalankan dengan rasa penuh hormat, tanggungjawab serta tertib sepertimana pembedahan-pembedahan biasa.

Pastikan anda memberitahu ahli keluarga terdekat bahawa anda telah mendaftar sebagai penderma organ. Ini kerana ahli keluarga anda adalah penentu hasrat murni anda tercapai.




Comments

Popular posts from this blog

Tips Hilangkan Poster Colour Pada Baju Sekolah

  Tengok la dia balik bawak apa? Kelas Pendidikan Seni je mesti ada surprise untuk mak 😆 Hari tu merah...kalini hijau...kat belah belakang baju pulak tu? Duduk atas kaler ke? 🤔 Baby...babyyy 🤦 Google beberapa tips tapi saya cuba cara ni sebab macam simple je. Mula2 rendam dalam air sabun kasi kaler kering tu kembang semula. Pastu tenyeh dengan sabun mandi. Buat beberapa kali sampai warna hijau tu hilang. Step ni kena sabar. Memang kena ulang alik masuk toilet. Basuh macam biasa. Ada warna samar2 tu takpe...jemur bawah panas matahari insyaallah putih semula.

Bucket Bag Jalur Gemilang Kait / Crochet

Kali ini saya dapat order via Shopee Shop dari orang Bintulu, Sarawak...Puan Siti Zakiah 🥰 Puan Siti nak bucket bag kait tema bendera Malaysia untuk anaknya. Untuk tapak beg saya gunakan plastik keras supaya tak melendut bila diisi sesuatu. Badan beg saya gunakan double crochet manakala bulan dan bintang dari kain felt. Agar mencabar nak siapkan beg ni sebenarnya walaupun kecil sebab nak raya haji. Maklumlah kalau nak balik Lipis tu jalannya macam mana 😅 Tapi tak Malaysia la kalau tak jem ha 😂 Dah buang masa kat situ. Kat kampung pulak tak boleh fokus. Balik je rumah memang pulun la siapkan cepat.

Selamat Hari Raya

16 Syawal 1432 H - Hope its not too late to wish Happy Eid to moslems all over the world. Thanks for being my followers & my supporters. Maaf zahir batin from me & family - Rozkhaidi Othman (husband) - Salwah Mohamed (me) - Nurul Afifah - Nurul Afrina - Nurul Azreen - Nurul Aliya - Nurul Adila